Isnin, Oktober 07, 2024

Pokok Sukun Tertua

Foto ihsan http://mohdfarid87.blogspot.com

POKOK SUKUN TERTUA DI PULAU AMAN

Hantaran asal: FB Apa Habaq Balik Pulau

Salah satu keunikan di Pulau Aman, iaitu kewujudan sebatang pokok sukun yang ditanam pada tahun 1890 oleh seorang guru agama, Tok Awang Akib. Pokok itu disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai pokok sukun tertua di Malaysia.
Pohon istimewa yang berusia lebih 128 tahun itu, masih mampu mengeluarkan buah yang banyak membuatkan pulau ini terkenal dengan buah sukun. Ramai berpendapat buah sukun yang ditanam di pulau ini enak dan tidak sama dengan sukun yang ditanam di tempat lain. Malah, ada pihak yang pernah membawa benih buah sukun dari pulau ini untuk ditanam di kawasan lain, namun rasanya tidak sama seperti pokok di Pulau Aman.
Mungkin kerana tanah di kawasan pulau ini yang bercampur dengan air masin menyebabkan buah sukun di pulau ini lebih sedap dan berlemak. Justeru, melihat kepada potensi buah sukun ini, ia dijadikan industri hiliran penduduk kampung yang mengusahakan kerepek sukun untuk dijual.

FAKTA PULAU AMAN

Pulau seluas 116.5 hektar itu, satu-satunya kampung nelayan Melayu tradisional yang masih kekal keasliannya hingga ke hari ini. Pulau Aman dihubungkan dengan jalan laut melalui Jeti Batu Musang dekat Batu Kawan dengan menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan. Menariknya, pulau ini bukan sekadar sebuah lokasi percutian yang menarik, malah menyimpan 1,001 sejarah dan tempat menarik untuk dikunjungi.


Sumber: FB Apa Habaq Balik Pulau

Tiada ulasan: