Band
berpecah punca muzik rock Malaysia tenat
Utusan
Malaysia – 2 Oktober 2024
PETALING
JAYA: Penyanyi rock legenda, Datuk Awie berpendapat,
perpecahan beberapa band popular memberi kesan terhadap kelangsungan industri
muzik rock di Malaysia. Awie yang juga vokalis kumpulan Wings merasakan situasi
tersebut telah merugikan banyak bakat hebat selain menyifatkan muzik rock di
Malaysia sebagai tenat.
“Perpecahan
band daripada satu menjadi tiga tidak bagus untuk industri seni. Tapi saya
faham juga sukar untuk kita selesaikan masalah itu kerana ia melibatkan hal
peribadi. Apabila perkara ini terjadi, masa dan bakat hebat mereka akan
dipersiakan.
“Selain mencari keuntungan dalam perniagaan, kita juga mencari
silaturahim. Sebab itu saya mahu adakan konsert yang boleh membantu ketengahkan
band bagus yang tiada kesempatan untuk tonjolkan kebolehan mereka,” katanya.
Awie ditemui Utusan Malaysia ketika
mengulas mengenai semangat muzik rock yang semakin malap di Malaysia beberapa
tahun kebelakangan ini. Seperti band lain yang dilanda ujian, Awie atau Ahmad
Azhar Othman, 55, mendedahkan Wings pernah berhadapan dengan situasi tegang
yang hampir menyebabkan perpecahan.
“Kalau boleh saya tidak mahu bercakap tentang hal orang lain,
saya hanya mahu bercakap mengenai diri saya. Dalam Wings sendiri pernah berlaku
perpecahan yang orang lain tidak tahu apa masalahnya. Kami tidak bercerita
tentang perkara ini kepada umum dan tidak mahu pun orang tahu tentang masalah
kami. Apa yang terjadi, kami selesaikan sendiri dan Alhamdulillah bakat, keluh,
kesah, keringat kami berlima semuanya kami hargai.
“Kamu mahu capai matlamat. Insya-Allah doakan agar kami kekal
sampai ke satu tarikh yang dipastikan (untuk berpisah),” jelasnya ketika
ditemui di majlis sidang media Rock Warrior Music Festival, di Menara PKNS
baru-baru ini.
Ditanya mengenai rahsia yang membuatkan Wings bertahan sehingga
hampir 40 tahun, Awie menekankan sikap saling menghormati antara rakan
sepasukan adalah kunci kejayaan.
“Hormat antara satu sama lain sangat penting. Kalau saya ada
kebolehan berlakon, mereka hormat dan beri ruang berkarya. Begitu juga dengan
Eddie yang boleh terbitkan muzik. Tapi kami semua ingat bahawa muzik adalah
kerjaya utama kami berlima untuk cari makan. Kami semua kena hadir beri masa
untuk latihan.
“Bukan hanya kerana saya penyanyi band, saya seorang boleh makan. Ini kerja berlima,” tambahnya. Dalam perkembangan lain, menerusi Produksi Rumah Merah, Awie bakal mengadakan Rock Warrior Music Festival yang akan menghimpunkan band rock tanah air pada 23 dan 24 November di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2024/10/band-berpecah-punca-muzik-rock-malaysia-tenat/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan