Ubah stigma, perpustakaan masih relevan
TV Sarawak –
10 Okt 2024
BINTANGOR, 10 Okt: Pelbagai pendekatan perlu dilaksanakan
bagi menarik minat masyarakat mengunjungi perpustakaan yang masih relevan
dengan peranannya sebagai sumber pembelajaran sepanjang hayat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing
berkata, usaha itu sangat penting dalam meningkatkan literasi dan penggunaan
sumber pengetahuan yang ada. Malah ujarnya, langkah lebih proaktif boleh membantu
mengubah persepsi perpustakaan sebagai tempat yang membosankan kepada pusat
aktiviti dan ilmu yang dinamik.
Sehubungan itu, hubungan baik antara perpustakaan sebagai penyedia
perkhidmatan dan pengguna dapat dipupuk dan dipertingkatkan dengan menyebarluaskan
peranan perpustakaan dalam komuniti.
“Ini dapat mengurangkan ‘stigma’ bahawa suasana perpustakaan yang
membosankan dengan perlaksanaan program literasi maklumat yang lebih
menyeronokkan dengan iklusiviti digital pada masa kini,” katanya ketika menghadiri
Hari Terbuka Perpustakaan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) hari ini.
Kuong Hiing berkata, program itu selaras dengan Pembudayaan Matlamat
Pembangunan Mampan (SDG) dalam kalangan komuniti. Selain menyediakan ruang yang
selesa, moden dan lebih mesra katanya, kolaborasi bersama pelbagai pihak
termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) juga penting bagi merealisasikan
hasrat itu.
Penganjuran program kali ini melibatkan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan
Anak Sarawak (TEGAS) dengan memasukkan program Sains Teknologi dan Matematik
(STEM) yang merupakan antara pembelajaran terpenting pada masa kini.
Pada majlis yang sama, Kuong Hiing turut menyalurkan sumbangan sebanyak
RM10,000 bagi membantu pihak perpustakaan MDMJmelaksanakan pelbagai aktiviti
pada masa akan datang. –TVS
Sumber: https://www.tvsarawak.my/2024/10/10/ubah-stigma-perpustakaan-masih-relevan/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan