Saya dulu pernah bersekolah di SK Simpang dari tahun 1985 sehingga 1989. Kelasnya adalah kelas Kuning dari darjah 2 hingga darjah 6. Sebelum itu, pada tahun 1984, saya bersekolah di SRK Sungei Way, Petaling, Selangor semasa darjah 1. Semasa di SK Simpang, saya pergi ke sekolah dengan menaiki basikal atau kadang-kala hanya berjalan kaki kerana jarak sekolah dengan rumah hanya dalam 150 meter sahaja. Loceng sekolah pun kedengaran dari rumah.
Saya pernah menyertai kumpulan koir sekolah pada tahun 1985 (darjah 2) yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping. Ada juga jualan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya ada membeli senaskah Dewan Pelajar edisi lama ketika itu. Pada tahun 1987, ada rombongan sekolah ke Taman Tasik SM Noor di Batu Gajah. Pada masa itu, Taman Tasik SM Noor antara taman tema yang paling menarik di negeri Perak. Seingat saya, ada rumah hantu, kereta laga dan taman haiwan di dalamnya.
Pada tahun 1988, ada seorang ustazah berkahwin di Kamunting atau Taiping. Ustazah ada sewa bas bagi anak muridnya pergi ke kenduri beliau. Sayangnya tidak ada gambar yang dirakam ketika itu. Seterusnya pada tahun 1989, saya dipilih untuk menyertai pasukan bolasepak sekolah. Walaupun duduk di bangu simpanan, nama saya tetap direkodkan sebagai senarai pemain bolasepak sekolah. Pada tahun yang sama, saya menjadi penyanyi utama dalam persembahan kelas semasa sambutan Hari Kanak-kanak. Lagu yang dinyanyikan ialah 'Si Manis 17'.
Semasa di SK Simpang, saya menyertai Pasukan Pengakap dan pernah berkhemah di sekolah. Kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah telur ayam yang ada dalam beg pecah dan berbau tak berapa nak sedap dalam beg.
Selain itu, saya juga dilantik sebagai Pengawas Sekolah bermula tahun 1988 hingga 1989. Baju seragam adalah bewarna biru muda.
Antara nama-nama guru yang masih diingati ialah:
- Cikgu Syed Shahabuddin
- Cikgu Abal Abbas
- Cikgu Meme Indut (Bahasa Melayu)
- Ustazah Sabariah (Pend. Islam)
- Ustaz Abdul Samad (Pend. Islam)
- Cikgu Nisabury (Penolong Kanan)
- Ustazah Salbiah (Pend. Islam)
- Cikgu Aishah
- Cikgu Norshahidah (Matematik)
- Cikgu Ghazali
- Cikgu Jefri Yunus
- Cikgu Abdul Rahim
- Cikgu Mah Heran Md Nordin
- Ustazah Noorain (Pend Islam)
- Cikgu Haji Ahmad Udoh (Bahasa Inggeris dan PJ, Pengakap)
- Cikgu Zabedah
- Cikgu Latif
Di SK Simpang, ketika tahun 1989, masih terdapat dua loceng iaitu loceng klasik dan loceng elektrik guna suis. Tugasan membunyikan loceng adalah satu tugasan yang ditunggu-tunggu oleh para pengawas. Apabila tiba bulan puasa, kantin ditutup dan tiba waktu rehat, maka penuhlah ruangan kantin dengan budak-budak untuk main tudung tin dan batu seremban. Di surau pula, sekiranya waktu sembahyang, adalah kawan-kawan yang mengusik kawan lain bila tengah sembahyang.
Dr kanan atas: Zaki, Zulhaidi, Suhaimi,
Mohd Nor Azmi, Khairil, Shahril Nizam, Shukor, Mohd Shah, Raduan, Hasnifalina,
Mastura, Zarina, Rosiah, Norazatul Firdaus, Rabaayah, ??, Zurina, Rahayu, Zaidah,
Norhashimah, Sharinawati, Hartini, Norhaslinda, Salimazlina, ??, Aisyatul
Aaiyah, Zulkepli, Syed Mohd Paizal, Cikgu Haji Ahmad, Cikgu Ghazali, Cikgu
Zabedah, Ustazah Salbiah, Khairul Abza, JamaliahSejarah Sekolah Kebangsaan Simpang
Sekolah (1)
Bangunan asal terletak di Jalan Kuala Kangsar dan dikenali dengan nama Sekolah Melayu Simpang. Bangunan ini dibina pada tahun 1890. Saiz sekolah ini ialah 20 kaki X 60 kaki. Bangunan ini dibahagikan kepada dua bahagian. Sebahagian diguna untuk bilik darjah manakala sebahagian lagi dijadikan rumah guru. Jumlah murid ini ialah seramai 20 orang sahaja. Oleh sebab murid-murid bertambah menjadi 60 orang dalam tahun 1895, maka seluruh bangunan ini digunakan sepenuhnya untuk bilik darjah. Sebuah rumah guru berasingan telah dibina di belakang sekolah ini dan diberi No. JKR 3 (KP:3057). Bangunan sekolah pula diberi No. JKR 2 (KP:3056).
Sekolah (II) Bangunan sementara dibangunkan kira-kira pada tahun 1937 dan mempunyai 3 bilik darjah sekolah ini terletak di Jalan Kampong Dew. Luas sekolah ini ialah 75 kaki X 30 kaki. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Umum Simpang. Sekolah ini dirobohkan pada tahun 1962.
Sekolah (III)
Mula digunakan pada 8 Julai 1962. sekolah ini mempunyai 5 bilik darjah dan menelan kos sebanyak RM 27,500.00. Luas sekolah ini ialah 150 kaki X 30 kaki. Dalam tahun 1982, bangunan sekolah ini telah disambungkan sebanyak 2 bilik lagi yang berukuran 60 kaki X 30 kaki untuk bilik Pusat Sumber Sekolah. Bangunan sekolah ini telah dirobohkan pada 1994.
Sekolah (IV) Bangunan 2 Tingkat
Oleh kerana jumlah murid kian bertambah setiap tahun, maka pada tahun 1980 sekolah baru dua tingkat telah dibina. Bangunan baru ini bertentangan dengan sekolah (III). Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Musa bin Hitam SPMJ, SSIJ, Menteri Pelajaran Malaysia pada 24 Januari 1981. Bangunan sekolah ini mengandungi 7 buah bilik darjah, sebuah bilik guru, bilik Guru Besar dan bilik air (tandas) serta Bangunan Kantin.
Selain itu, sebuah surau telah dibina pada tahun 1982. Kos pembinaannya kira-kira RM 5000.00. Surau sekolah ini telah memberi kemudahan kepada guru-guru dan murid-murid untuk bersembahyang jemaah.
Sekolah (V) Bangunan Projek Gotong Royong
Bangunan ini dibina pada tahun 1989. Terdiri daripada 4 bilik darjah dan sebuah stor untuk buku SPBT.
Sekolah (VI) Bangunan 3 Tingkat
Bangunan sekolah ini telah dibina pada tahun 1994. Bangunan ini terdiri daripada daripada 10 buah bilik darjah, Pejabat, Pusat Sumber, Bilik Kaunseling, Bilik Guru Besar, Bilik Penolong Kanan, Bilik Fail dan Bilik Cetak.
Sekolah (VII) Bangunan 3 Tingkat
Bangunan tambahan ini telah disiapkan pada 17 Disember 2001. Bangunan ini mempunyai 2 blok dan terdiri daripada beberapa bilik Darjah, bilik Guru, bilik Pemulihan, bilik Makmal Sains, Bengkel Kemahiran Hidup, Makmal Komputer, Tandas Guru dan juga Tandas Murid. Bangunan ini juga terdapat ruang serba guna. Bangunan yang baru ini mula gunakan pada 21 Oktober 2002.
Sumber: Wikipedia








![Ketupat Cinta [Musim Pertama]](https://i.gr-assets.com/images/S/compressed.photo.goodreads.com/books/1240420495l/6415559._SY75_.jpg)


















Tiada ulasan:
Catat Ulasan