Memaparkan catatan dengan label Sungei Way. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sungei Way. Papar semua catatan

Ahad, Julai 05, 2026

Jiran di Sungei Way


Hari ini pergi ke Seksyen 18, untuk tukar tayar basikal lipat yang dah botak. Seusai urusan di kedai basikal, terus ke Seksyen 23 untuk ganti tinted cermin kereta yang sudah kelabu. Di situ ada seorang abang yang sedang tukar sistem audio kereta dia, lalu kami pun bertegur dan bersembang. Dari awal lagi dah dengor bunyi cakapnye macam orang Perak.

Ater, memang benor le. Abang Sabri (Asal: Kampar, lahir: 1964) rupanya pernah tinggal di Jalan 8, Sungei Way sekitar 1982-1984 dulu. Masa tu dia tinggal dengan geng bujang. Kami pun tinggal di situ semasa arwah bapak ditugaskan di PJ. Maka, kami pun teruslah bercerita sikit kenangan pada masa tu termasuk kisah MakSom (MakChom) dan anaknya, Fuad yang merupakan jiran kami jugak di situ.
5 Julai 2026

Ahad, Disember 01, 2019

Merantau ke Sungei Way

No. 352. Dahulunya dalam lot ni, ada beberapa buah rumah. Setiap blok ada tiga pintu. 

Ini gambar kawasan rumah yang pernah penulis tinggal pada tahun 1982-1984 semasa arwah bapa bertugas di Pejabat Pos Jalan Sultan, Petaling Jaya. Nombor rumahnya adalah 352. Dahulunya ianya dikenali sebagai Sungei Way tetapi untuk nampak lebih komersil, namanya ditukar kepada Seri Setia. Generasi yang terdahulu sudah pasti masih mengingati nama lama tersebut.

Keluarga berpindah dari Kuala Kangsar, Perak ke sini atas sebab arwah bapa dapat kenaikan pangkat pada masa itu. Kami menetap di rumah sewa di sini. Teringat bas mini bernombor 33 yang digunakan untuk ke pergi ke Kuala Lumpur atau Bas Seri Jaya (sekarang dikenali sebagai Rapid KL). Antara tempat yang dikunjungi adalah Zoo Negara, Chow Kit, Globe Silk Store, Keramat Supermarket, Batu Road Supermarket, Puduraya dan Institut Teknologi MARA (Sekarang UiTM). Abang penulis dapat tawaran memasuki ITM pada masa tu, maka kami berpeluang ke Shah Alam menaiki motorsikal yang ada nombor platnya AN 9949 sambil menghadiri Pesta Konvo 1984. Di Sungei Way jugak, kami ada telefon rumah sendiri bewarna hitam yang perlu dipusing bila hendak menelefon keluar. Nombornya 03-743 744. 
Beginilah lebih kurang model telefon yang digunakan 

Penulis sempat bersekolah darjah 1 (1984) di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungei Way yang jaraknya hanya 1.1km daripada kawasan rumah ini. Masjid juga sangat dekat dan berada di lorong yang sama. Begitulah keadaan semasa berhijrah ke negeri orang. 
SRK Sungei Way

Alhamdulillah hujung tahun 1984 dapat kembali ke Perak apabila arwah bapa dapat membuat pertukaran ke Pejabat Pos Besar Ipoh. Tapi kami bersama emak dan adik-beradik yang lain terus ke Taiping. Dalam diam rupanya beliau membeli rumah di Taiping. Rumah yang dibeli oleh arwah bapa di Simpang, Taiping telah siap dan boleh didiami oleh kami sekeluarga. Rumah tersebut sampai sekarang terus didiami oleh emak.