Seminggu
lepas, timeline penuh dengan cerita "Melayu ajar Rom buat kapal",
"Melayu boleh terbang". Semua gara-gara satu video lama seorang prof
dari tahun 2022 dikorek balik dan viral semula. Nampak macam ada agenda. Tapi
agenda ke tak agenda, prof ni memang dah lama terkenal dengan kenyataan
"fakta" sejarah yang luar biasa.
Antara
claim beliau yang paling legend: Keturah (isteri Nabi Ibrahim) moyang orang
Melayu, Zulkarnain datang cari besi di Kedah, Kunlun tu Melayu dan diorang ajar
orang China kung fu terbang. Dan yang paling saya susah nak hadam: "Dato'
Bahaman dilantik oleh Sultan Uthmaniyyah untuk lawan Bintang Tiga." Bintang
Tiga ni komunis, muncul lepas Jepun kalah hujung Perang Dunia Kedua (sekitar
1945). Kesultanan Uthmaniyyah pula dah jatuh 1922 lagi. Sultan terakhir, Mehmed
VI, dibuang negeri ke Malta, Hijaz dan akhirnya mangkat di Itali. Lepas
kesultanan dimansuhkan, Turki masih kekalkan jawatan khalifah dengan lantik
sepupu Mehmed VI, Abdul Majid II, sebagai khalifah tanpa kuasa.
Tapi
tak lama lepas tu, jawatan khalifah pun dimansuhkan pada 1924. Seluruh kerabat
Uthmaniyyah atau Osmanoğlu pun dihalau keluar dari Turki.
Jadi
macam mana logiknya Dato' Bahaman boleh "dilantik" oleh kerajaan yang
dah tumbang dua dekad lebih awal? Lepas
terkantoi, baru prof cakap beliau merujuk pada waris Uthmaniyyah.
Saya
tak nafikan, prof tetap seorang yang berilmu. Ada PhD, ada gelaran prof.
Tapi
dalam dunia akademik, setiap bidang ilmu ada "disiplin": cara nak
kaji data, cara nak bincang teori, cara nak hasilkan ilmu yang sahih. Kalau
faham disiplin, tak ada gelaran prof pun boleh jadi rujukan. John Maynard
Keynes tak ada PhD, tapi hampir semua PhD ekonomi wajib rujuk buku dia. Sebab
dia kuasai disiplin ekonomi. Kalau tak faham disiplin sesuatu bidang ilmu, ada
gelaran prof atau doktor pun bukan autoriti dalam bidang tu.
Prof
matematik tak semestinya pandai fizik. Doktor pakar otak belum tentu pakar
jantung.
Kalau
korang tak percaya pentingnya disiplin ilmu, cuba minta pakar otak tolong bedah
jantung korang. Tengok apa jadi.
Dalam
pengajian Islam pun sama. Ulama akidah tak semestinya boleh bagi hukum fiqh
sebab metodologi (kaedah) dia lain. Hafiz Quran pun tak boleh keluar hukum
suka-suka tanpa kuasai fiqh dulu. Sebab tu tauliah penting. Kita nak tahu
seseorang tu bercakap dalam bidang dia, bukan sekadar "nampak alim"
atau "sedap hujah".
Begitu
juga sejarah. Kalau orang tu profesor dalam bidang bahasa, kita hormat
kepakaran dia dalam linguistik. Tapi bila dah masuk bidang sejarah, maka kena
ikut disiplin sejarah.
Sejarah
ni berasaskan sumber. Kalau dakwa sesuatu pernah berlaku, kena tunjuk sumber
bertulis atau artifak (bahan tinggalan) yang menyokong. Jadi bila seseorang
kata "orang Rom belajar daripada orang Melayu buat kapal", ahli
sejarah akan tanya: "Mana sumbernya?" Kalau tak ada, maka itu bukan
fakta. Itu cerita rekaan.
Realiti
sejarahnya, Rom tak perlu Melayu ajar buat kapal sebab diorang hidup berdekatan
dengan dua kuasa maritim hebat dunia purba: Yunani (Greek) dan Phoenician. Orang
Yunani menguasai pelayaran di utara Mediterranean sejak 1000 Sebelum Masihi
(3,000 tahun yang lalu). Phoenician (asal Lubnan hari ni) pula kuasai selatan
Mediterranean dan pantai utara Afrika, siap bina empayar Carthage di Tunisia. Rom
pada asalnya bangsa darat. Hanya lepas diorang satukan Itali sekitar 260
Sebelum Masihi, baru diorang mula beralih jadi bangsa yang kuat di laut. Dan
hanya selepas Rom kalahkan Dinasti Ptolemy (pemerintah terakhir dia Cleopatra)
dan tawan Mesir pada 31 Sebelum Masihi, baru wilayah Rom bersambung dengan Laut
Merah.
Dari
pelabuhan Rom di Laut Merah, kapal Rom belayar ke India, tapi tetap tak sampai
Alam Melayu. Tapi pada waktu tu, diorang dah ada macam-macam kapal. Nak belajar
buat kapal apa lagi? Lagi pun "spec" kapal Melayu tak sama langsung
dengan kapal Laut Mediterranean. Laut Mediterranean ni laut tertutup, airnya
tenang, tak ada angin monsun tetap, jadi orang Rom guna kapal dayung (oars)
untuk gerak. Kapal orang Melayu pula bergantung pada layar dan angin monsun
sebab laut Nusantara ni laut terbuka dan berangin kuat. Jadi kalau orang Rom
guna kapal Melayu kat Laut Mediterranean, boleh jadi 10 tahun kapal tak
gerak-gerak.
Melayu
pula memang bangsa pelaut, tapi bukan sampai tapau semua laut di dunia.
Bila
kita sebut Melayu, kita kena ingat ada dua definisi. Satu ialah "Ras
Melayu" (Malay Race). Ini definisi luas, merujuk kepada rumpun bahasa
Austronesia, atau lebih spesifik keluarga bahasa Western Malayo-Polynesian yang
meliputi suku kaum dari Madagascar sampai ke Filipina. Definisi yang lebih
sempit pula rujuk kepada etnik Melayu (ethnic Malay): masyarakat yang beradat
dan berbahasa Melayu, berpusat di Semenanjung Tanah Melayu, timur Sumatera dan
barat Borneo. Tak kira nak guna definisi Melayu yang luas atau yang sempit,
jarak dia dengan empayar Rom tetap jauh. Pada zaman Rom, teknologi pelayaran
belum memungkinkan pelaut Melayu sampai sejauh Laut Arab, apatah lagi
Mediterranean.
Kalau
betul orang Melayu sampai ke sana, mesti ada catatan Arab, Parsi atau Rom yang
sebut, tapi tak ada. Orang Rom pun tak datang ke sini semata-mata nak belajar
bina kapal. Lagi pun, kalau diorang dah boleh sampai ke sini, nak belajar apa
lagi? Hubungan
antara tamadun Rom dan dunia Melayu cuma berlaku secara tak langsung: orang
Melayu sebagai sebahagian daripada jaringan Jalan Sutera Maritim.
Orang
Melayu jual rempah dan hasil hutan kepada pedagang India, Parsi dan Arab, yang
jadi orang tengah untuk pasarkan semula ke Rom. Sebab tu kadang-kadang kita
jumpa matawang Rom di Asia Tenggara, malah di Alam Melayu sendiri. Bukan bukti
diorang pernah sampai, cuma bukti duit diorang sampai.
Walaupun
tak ada bukti sejarah, prof tu sebut dengan yakin: "Kita dapat maklumat
orang Rom belajar daripada orang Melayu buat kapal." Perhatikan perkataan
tu: maklumat. Beliau cerita seolah-olah benda tu dah sahih dan ada catatan. Bila
orang tanya mana sumbernya, jawapan beliau biasanya, "Saya ada kajian, tak
percaya sudah." Itu bukan cara akademik. Ahli sejarah tak pernah kedekut
sumber. Kalau sekadar firasat, itu bukan hipotesis, itu spekulasi. Nak hasilkan
satu hipotesis pun ada prosesnya.
Ahli
sejarah sejati tak terus kata "Melayu ajar Rom buat kapal". Dia akan
mula dengan persoalan, bukan kenyataan fakta. Contohnya
dia tanya: "Adakah teknologi kapal Rom berasal daripada dunia
Melayu?" "Adakah wujud hubungan teknologi maritim antara orang Melayu
dan orang Rom purba?"
Persoalan
ni jadi asas nak buat kajian. Ahli sejarah akan semak kajian lepas dulu. Ni
yang dipanggil "literature review". Dia
akan tengok ada tak rekod sejarah yang bagi petunjuk kecil atau
"clue" awal kepada persoalan tu. Contohnya ada catatan Rom abad
pertama yang sebut "pelaut dari timur membina kapal besar untuk
maharaja." Dari situ baru ahli sejarah bina hipotesis awal untuk kaji,
bukan untuk terus "buktikan".
Contohnya:
"Terdapat kemungkinan pelaut dari timur yang disebut dalam catatan Rom
merujuk kepada pelaut Melayu, yang mungkin membawa kepada pertukaran teknologi
kapal." Itu hipotesis yang berhemah. Bukan terus claim "Melayu ajar
Rom buat kapal."
Lepas
tu, ahli sejarah akan gali bukti dari pelbagai sumber. Kalau semua bukti tak
menyokong, ahli sejarah lapor jujur: "Tiada bukti menunjukkan teknologi
kapal Rom dipengaruhi oleh dunia Melayu."
Dalam
kenyataan balas prof tu, beliau cuma lampirkan senarai buku dan artikel yang
sebut orang Melayu bangsa pelaut. Ye, semua orang tahu benda tu. Tapi mana
bukti "Rom dan Melayu ada interaksi maritim"? Benda tu bukan je tak
dijawab, siap dialih topik ke Nabi Nuh pula. Fakta lain yang beliau petik,
macam "lelaki pertama yang belayar mengelilingi dunia ialah orang
Melayu", pun tak ada kena-mengena dengan fakta "Rom belajar buat
kapal dari Melayu".
Lelaki
yang dimaksudkan tu, Enrique de Malaca, mengelilingi dunia dengan kapal
Ferdinand Magellan dari Sepanyol pada 1519–1522. Waktu tu, Empayar Rom Barat
dah jatuh lebih 1,000 tahun, dan Empayar Rom Timur pun dah jatuh hampir 100
tahun.
Jadi
tak nampak apa kaitan di situ. Dia macam nak kuatkan hujah, tapi sebenarnya
lebih kepada trick nak kelirukan orang ramai dan "divert" dari isu
utama. Dalam video sama, prof tu juga dakwa Viking dan Rus datang ke Kra ambil
besi. Sedangkan zaman tu (sekitar 900–1000 Masihi), dunia dah ada catatan
sejarah lengkap dari Eropah sampai dunia Islam (ketika tu zaman Abbasiyyah).
Kalau
betul ada pelayaran Viking ke Kedah, mesti dah direkodkan. Tapi tak ada. Video
penuh beliau memang boleh buat ahli sejarah demam 3 hari: garis masa bercampur,
fakta tunggang-terbalik. Ni semua pseudosejarah (pseudohistory) atau sejarah
palsu.
Kalau
yang sebarkan pseudosejarah tu cuma warganet biasa, kita tak kisah. Anggap je
hiburan. Masalahnya, bila ia datang dari orang bergelar prof, ramai yang terus
percaya. Dan itu mencemar adab ilmu. Akhirnya generasi baru hilang hormat pada
disiplin ilmu. Tak perlu kaji manuskrip bertahun, tak perlu gali tanah, cukup
sebut benda yang sedap, terus orang percaya. Kita nak bangga jadi Melayu tu
bagus, semangat tu penting.
Dari
dulu saya pun selalu tulis, orang Melayu kena kenal dan bangga dengan
sejarahnya sendiri (walaupun saya Cina). Tapi jangan sampai semangat tu jadi
khayalan. Jangan sampai kita overclaim, seolah-olah Melayu ni punca segala
tamadun dunia.
Kita
tak perlu reka kisah "Melayu ajar Rom buat kapal", sebab realitinya
Melayu memang hebat dalam bidang yang betul-betul terbukti: pelayaran Asia
Tenggara, perdagangan rempah, dan tamadun maritim Nusantara. Itu pun dah cukup
megah kalau kita faham dengan jujur. Kekuatan sebenar datang daripada kejujuran
dengan fakta, bukan daripada cerita sedap. Sejarah tu cermin masa depan. Kita
tengok kelebihan dan kesilapan masa silam: ambil yang jernih, buang yang keruh,
supaya tak ulang kesilapan sama.
Nak
faham kenapa kita pernah dijajah, kita baca sejarah.
Sejarah
tunjuk masa tu bangsa kita lemah dalam sains, teknologi dan industri. Maka dari
situ kita ambil pengajaran, bangunkan balik sains, teknologi dan industri.
Sejarah
juga ajar kita, kejatuhan sesuatu negara selalu bermula dengan pemimpin yang
tak amanah. Kalau kita belajar daripada tu, kita boleh bina balik budaya
integriti dan tanggungjawab politik.
Tapi
kalau sejarah pun kita ubah ikut sedap sendiri, tambah khayalan sana-sini,
macam mana nak belajar apa-apa daripadanya? Macam mana nak rancang masa depan
kalau cermin yang kita guna pun kabur? Islam pun ajar kesederhanaan dan
keadilan dalam menilai sesuatu. Sikap ekstrem dalam sejarah buatkan kita tak
jauh beza dengan pihak lain yang juga reka cerita untuk agenda sendiri, konon
Hang Tuah tu Cina, Parameswara tu India. Sejarah ni ibu segala ilmu sosial.
Daripada sejarahlah lahir sains politik, ekonomi, sosiologi dan macam-macam
lagi.
Kalau
sejarah rosak, maka rosaklah semua ilmu lain. Dan bila ilmu rosak, bangsa pun
hanyut, ulang balik sebab sebenar kenapa sesuatu bangsa dijajah: kelemahan
ilmu.
Kita
tegur bukan sebab dengki atau tak boleh tengok "kehebatan Melayu",
tapi sebab kita cinta sejarah dan cinta masa depan bangsa ini.
Sumber
asal: FB Ayman Rasydan Wong (12 Nov 2025)