Isnin, November 03, 2025

Diplomasi bijak cerminan kepimpinan Malaysia

Diplomasi bijak cerminan kepimpinan Malaysia

Sinar Harian – 28 Okt 2025

KEBERANIAN dan kebijaksanaan seorang pemimpin diuji bukan ketika waktu senang, sebaliknya dalam saat genting yang menuntut ketegasan dan hikmah atau kebijaksanaan dalam menimbang antara prinsip serta strategi.

Begitulah yang ditonjolkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperlihatkan sisi kepimpinan yang berjiwa besar dalam menangani isu-isu global yang melibatkan Malaysia baru-baru ini termasuk insiden 32 rakyat kita yang ditahan rejim Israel baru-baru ini. Kita boleh lihat bagaimana diplomasi berkelas antarabangsa yang ditonjolkan oleh Perdana Menteri, dengan segera menelefon rakan sejawatnya dari pelbagai negara bagi membebaskan tahanan.

Tidak ramai pemimpin di rantau ini berani menegaskan pendirian terhadap kekejaman Israel secara terbuka, namun dalam masa sama mampu mengekalkan saluran diplomatik bagi memastikan keselamatan rakyat sendiri terpelihara.

Inilah seni diplomasi berasaskan hikmah, satu nilai yang menjadi inti kepada kepimpinan Islam dan tauladan buat negara serantau. Beliau juga dilihat menunjukkan pendekatan diplomasi yang matang ketika menyambut Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump walaupun ada suara mengkritik Perdana Menteri menjemput penyokong kuat Israel ke negara ini.

Presiden AS itu ketika tiba di Malaysia dilihat begitu gembira sambil turut menari ketika tarian tradisional kita dipersembahkan kepadanya. Anwar Ibrahim juga dilihat memuji Trump ketika berucap sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, atas usaha mendamaikan dua negara sedang tegang.

Dalam dunia yang penuh dengan tekanan geopolitik, keberanian Perdana Menteri untuk berpegang pada prinsip kemanusiaan dan keadilan, tanpa menggadaikan hubungan diplomatik, menunjukkan keseimbangan antara tegas dan bijaksana.

Pendekatan beliau yang menekankan perpaduan serantau, penyelesaian damai dan keterlibatan aktif dalam ekonomi Islam serta halal global menunjukkan bahawa Malaysia bukan sekadar pemerhati, tetapi peneraju hala tuju baharu ASEAN yang lebih matang dan berprinsip.

Dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu, Malaysia memerlukan pemimpin yang berani berdiplomasi tanpa menjual maruah bangsa dan mampu berbicara di meja dunia dengan hujah, bukan dengan retorik.

Malaysia sedang diperhatikan dunia dan buat masa ini, negara kita sedang melangkah dengan penuh wibawa.

Sumber: www.sinarharian.com.my

Tiada ulasan: