Jumaat, Mac 24, 2017
Amy Search ahli pertama Kelab HeForShe
SHAH ALAM, 24 MAC: Penyanyi rock ternama, Amy Search menjadi ahli pertama bagi Kelab HeForShe yang dilancarkan sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 peringkat Kerajaan Negeri di Geno Hotel Subang Jaya, baru-baru ini. Pengumuman itu disampaikan Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga dalam majlis yang turut dihadiri Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, Kelab HeForShe akan merancakkan kempen kefahaman jantina dan memberi kesedaran kepada lelaki untuk melindungi serta menghormati wanita.
“Program ini adalah program bertaraf dunia yang turut disertai dan disokong artis luar negara dengan memberi sokongan serta memperjuangkan hak kaum wanita. Saya rasa semua orang khususnya lelaki perlu menyertai kelab ini dan kempen #BeBoldForChange atau #BeraniUntukBerubah demi mencapai kesaksamaan jantina selain melindungi mereka khusunya orang terdekat seperti ibu, isteri dan anak perempuan,” katanya kepada SelangorKini.
Katanya, wanita seharusnya diberikan hak sewajarnya dengan kredibiliti kerana golongan itu memainkan peranan penting dalam kehidupan juga negara.
“Sebagai lelaki, adalah wajar untuk kita memastikan persekitaran selamat bagi wanita dan anak serta berani menghentikan segala bentuk penindasan juga diskriminasi. Dalam sesebuah negara, jika mementingkan hak dan mempertahankan kaum wanita, saya pasti negara itu akan menjadi baik,” katanya.
Labels:
Amy Search,
Kelab HeForShe
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan