SABAK BERNAM 5 Ogos - Usaha menggalakkan rakyat khususnya
golongan muda di Sungai Besar memanfaatkan ilmu pengetahuan disemakkan lagi
dengan pembukaan Pustaka Hamka oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Budiman Mohd.
Zohdi, hari ini.
Budiman ketika ditemui pemberita
menyifatkan, pembukaan pustaka yang mengambil nama penulis dan ulama terkenal,
Hamka atau nama sebenarnya, Allahyarham Abdul Malik Abdul Karim Amrullah itu
adalah satu manifestasi terhadap penulisan buku-buku tokoh tersebut yang telah
membawa pengaruh besar kepada masyarakat Nusantara.
Katanya, walaupun Hamka kelahiran
Indonesia, namun karya-karyanya adalah milik masyarakat Nusantara termasuk di
Malaysia.
"Saya fokus untuk memilih karya
Hamka kerana ianya dekat dengan masyarakat kita. Saya fikir ia mewakili suara
masyarakat Nusantara selain menjadi nostalgia dan rujukan kepada khalayak
pembaca di negara ini. Di samping itu, saya mahu wujudkan budaya membaca dan
perbincangan intelektual dalam kalangan masyarakat setempat," katanya yang
turut memaklumkan sebanyak 80 peratus daripada 134 judul buku karya Hamka sudah
ditempatkan di Pustaka Hamka di Kampung Tebuk Haji Yusof, di sini.
Yang hadir sama pada majlis
pembukaan Pustaka Hamka itu ialah wakil Pengarah Institut Wasatiyyah Malaysia,
Fadil Omar Baki; Ketua Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah Malaysia, Prof.
Madya Dr. Sonny Zulhuda; Ketua Pimpinan Cabang Istimewa Aisiyah Malaysia, Nita
Nashitah dan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Lamongan Jawa Timur,
Ali Mahfud. Pada masa sama, Budiman turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai
untuk menderma atau meminjamkan buku-buku tulisan Hamka ke pustaka itu untuk
dimanfaatkan oleh orang ramai.
Pustaka Hamka itu katanya dibuka
kepada orang ramai setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Sumber: www.utusan.com.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan