Khamis, Januari 19, 2017

Buku online boleh jejaskan penulis


Sinar Harian – 19 Jan 2017

SHAH ALAM - Perkhidmatan membaca buku secara online yang dilancarkan Perpustakaan Negara disifatkan hanya memberi kebaikan kepada kelompok pembaca tanpa memikirkan periuk nasi pengkarya.
Meskipun usaha tersebut bertujuan menggalakkan lagi budaya membaca, kalangan penulis buku meluahkan rasa kurang senang terhadap perlaksanaan sistem tersebut dan mahu penilaian semula dilakukan. Penulis novel, Ramlee Awang Murshid berkata, pelaksanaan itu hanya memberi kebaikan untuk pembaca sahaja, tanpa memikirkan nasib penulis.

 "Saya tak setuju dengan pelaksanaan perkhidmatan itu, kecuali pihak terbabit mengambil kira tentang soal royalti penulis," katanya.  Beliau berkata, tidak dinafikan usaha ini berkesan dalam menarik lebih ramai masyarakat membaca, namun kesannya cukup ketara ke atas golongan penulis melainkan diwujudkan kontrak tertentu.

"Budaya membaca melalui online sesuai dengan peralihan zaman, namun jika hanya berpihak kepada pembaca, bagaimana untuk penulis menjana pendapatan melalui karya," katanya.
Seorang lagi novelis, Aleya Anesa berkata, keputusan ini dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira pandangan penulis.

"Saya tak setuju walaupun usaha ini disambut baik oleh pembaca. Golongan penulis seperti kami akan terkesan, terutama mereka yang menjadikan karier ini sebagai sumber utama mata pencarian," katanya.  Sebelum ini disebarkan makluman kepada umum tentang Perpustakaan Negara Malaysia telah melancarkan satu perkhidmatan membenarkan sesiapa sahaja boleh membaca buku secara online di pautan: http://www.pnm.elib.com.my

Tiada ulasan: