SHAH ALAM - RM50,000 disumbangkan Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) kepada Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) sebagai inisiatif memperkaya sumber bacaan di perpustakaan ini. Ketua Bahagian Komunikasi Worldwide, Ami Nardin Ishak berkata, komitmen tersebut dilaksana sebagai tanggungjawab sosial pihaknya membantu memperkukuhkan agenda pembangunan pendidikan negeri.
“Ini sebahagian daripada tanggungjawab sosial dirangka sepanjang tahun ini dengan berpandukan kepada empat teras utama iaitu sukan, alam sekitar, pendidikan dan sosial.
“Sumbangan ini merupakan program tahunan bagi tujuan perpustakaan menambah jumlah buku dan sumber bacaan lain. Kerjasama ini diharapkan berterusan sehingga Worldwide mampu untuk terus membantu meningkatkan frasarana PPAS bagi masa akan datang,” katanya kepada Selangorkini. Terdahulu, majlis penyerahan sumbangan diadakan di Dewan Utama PPAS semalam turut dihadiri Pengarah PPAS, Hajah Mastura Muhamad, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat Lembaga Zakat Selangor, Norajun Ainon.
Pemeteraian penyerahan sumbangan tersebut menyaksikan Worldwide Holding sebagai syarikat milik Kerajaan Negeri pertama membuka lembaran 2017 dengan melaksanakan inisiatif CSR (tanggungjawab sosial) membabitkan prospek pendidikan negeri. Sementara itu, Mastura Muhamad berkata, penyerahan sumbangan tersebut dimanfaatkan bagi tujuan penambahan sumber dan keperluan bahan bacaan di PPAS yang bermanfaat untuk rujukan masyarakat.
“Kami menghargai bantuan ini dan berharap ia akan menjadi manfaat yang baik kepada masyarakat dan seluruh pengunjung yang datang,” katanya.
Sumber: https://selangorkini.my/2017/01/worldwide-holdings-sumbang-rm50000-perkaya-sumber-bacaan-ppas
Tiada ulasan:
Catat Ulasan