Rabu, September 27, 2023

Usahawan kena baca 30 minit sehari kalau nak berjaya

Foto kredit: Shutterstock

Usahawan kena baca 30 minit sehari kalau nak berjaya

Utusan Malaysia - 26 Sept 2023

SAUDARA PENGARANG,

BUDAYA membaca dalam kalangan rakyat Malaysia tidak berada pada tahap memuaskan. Picodi.com yang menjalankan kajian mengenai tabiat membaca dan pembelian buku secara dalam talian terhadap

7,800 responden terpilih di 41 negara termasuk Malaysia mendapati 22 peratus (5.5 juta) penduduk dewasa di negara ini langsung tidak berminat walaupun untuk membeli senaskhah buku setahun. Kajian Perpustakaan Negara (2014) pula mendapati purata rakyat Malaysia hanya membaca sekitar 15 buku setahun. Angka tersebut meningkat berbanding 2005 yang mana purata rakyat Malaysia hanya membaca dua
buku setahun.

Biarpun ada sedikit peningkatan, namun angka tersebut masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang mana rakyatnya membaca hampir 40 buku setahun.

Mengambil contoh beberapa usahawan terkemuka dunia seperti Bill Gates yang membaca 50 buku setahun dengan purata sebuah buku seminggu, Mark Zuckerberg mencabar dirinya untuk membaca sebuah buku dalam seminggu sepanjang tahun, Warren Buffett membaca setiap hari sebanyak 500 muka surat, manakala Elon Musk ketika ini membaca lebih 10 jam sehari. Sekiranya tidak mampu mengikut jejak langkah usahawan-usahawan terkemuka tersebut, sebagai permulaan bolehlah mengikuti amalan 88 peratus individu kaya raya di dunia mendedikasikan sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk membaca buku.

Budaya membaca dalam kalangan usahawan mesti dipupuk sesegera mungkin kerana terdapat pelbagai faedah akan diperoleh apabila membudayakan pembacaan dalam hidup mereka. Antaranya mampu menjadi pengukur piawaian kepada kesarjanaan yang menjelmakan kecerdasan emosi (EQ) dan tahap kecerdasan intelektual (IQ). Kedua-dua unsur kecerdasan ini amat penting bagi mereka menguasai pelbagai keadaan dan merebut peluang yang ada bagi pembangunan diri dan masyarakat.

Selain itu, pilih bahan bacaan yang berkualiti seperti buku sejarah, biografi dan kajian kes kerana mampu menambah ilmu pengetahuan dan pembangunan diri, seterusnya dapat membantu menyelesaikan permasalahan dihadapi dalam urusan perniagaan harian. Seterusnya, kelebihan membaca kepada usahawan juga mampu melatih otak menjadi kreatif dan inovatif, meningkatkan kemahiran berkomunikasi, meningkatkan memori serta menjadi seorang usahawan bermotivasi tinggi.-UTUSAN

DR. ROSSIDI USOP
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber: https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/09/usahawan-kena-baca-30-minit-sehari-kalau-nak-berjaya/

Tiada ulasan: