Rabu, Mei 28, 2025

UPSI, Arkib Negara Malaysia kumpul Diari Pengetua 1900-1977, calonkan 'Memory of the World'


Berita Harian - 16 Mei 2025

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Arkib Negara Malaysia sedang mengumpul artifak berupa dokumen Diari Pengetua dari tahun 1900 hingga 1977 yang berpotensi dicalonkan sebagai Memory of the World (MoW) di bawah UNESCO (United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization).

Pengarah Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI, Prof Dr Tajul Shuhaizam Said berkata dokumen berkaitan adalah Diary College Malacca (1900-1922) dan Principal'S Diary Sultan Idris Training College (1922-1950, 1951-1977).

Dokumen berkenaan, katanya, adalah rekod harian rasmi pentadbiran salah satu institusi pendidikan terawal dan terpenting dalam sejarah Tanah Melayu dan Asia Tenggara, malah menjadi dokumen terpenting dalam mengkaji perkembangan pendidikan di Nusantara sejak tahun 1900.

Beliau berkata penubuhan Malacca College (MC) oleh British-Malaya (1786-1957) bertujuan menyediakan guru-guru untuk sekolah-sekolah Melayu di seluruh Tanah Melayu iaitu selama 22 tahun dalam melatih guru-guru sekolah Melayu dengan cara yang teratur dan memenuhi kehendak keperluan pelajaran Melayu dan menggunakan dasar pelajaran kampung dan pertanian yang dilaksanakan oleh kolonial British terhadap orang Melayu.

Katanya, apabila MC ditutup pada tahun 1922, Sultan Idris Training College (SITC) dibuka di Tanjong Malim, Pera dan segala khazanah seperti peralatan, rekod-rekod dan tenaga pengajarnya dipindahkan ke Tanjong Malim demi untuk meneruskan kesinambungan pendidikan anak-anak Melayu.

"Justeru, dalam tempoh segala catatan rekod dari MTC sangat penting kerana ia satu-satunya pusat pengajian Melayu tertinggi dan terkenal sejak penubuhannya, dan dianggap sebagai universiti Melayu pada waktu itu sebelum tertubuhnya SITC.

"Hasil catatan tentang maktab ini sangat berguna untuk memberi pemahaman yang betul terhadap sejarah perguruan di Tanah Melayu dan pengaruhnya di rantau Asia Tenggara dan British," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam usaha ini, katanya, terdapat faktor kepentingan Warisan Dokumentari (Heritage Significance) kerana mempunyai nilai yang luar biasa seperti yang terdapatnya catatan harian, interaksi pelajar-pensyarah, aktiviti akademik, sukan dan kokurikulum, serta perkembangan dasar pendidikan di zaman Inggeris yang mencerminkan secara langsung evolusi pemikiran nasionalisme Melayu melalui pendidikan.

"Peranan tokoh-tokoh awal MC/SITC seperti O.T. Dussek (Pengetua), Mohd Hashim Haji Talib (Guru Besar), Abdul Hadi Haji Hasan (Guru Kanan/Pakar Sejarah), Ahmad Bakhtiar (Guru Kanan Bahasa Melayu), W. Olaguera (Guru Anyaman), Zainal Abidin Ahmad (Za'ba) (Penterjemah) dan Aminuddin Baki (Pensyarah) juga terdapat dalam diari berkenaan.

"Diari ini mewakili sumber primer dalam memahami bagaimana pendidikan dijadikan alat kolonial, kemudiannya dimanfaatkan oleh golongan marhaen menjadi seorang terpelajar yang menjadi pejuang kemerdekaan Malaya dan Indonesia, contohnya Ibrahim Yaakub," katanya.

Tajul Shuhaizam berkata dari aspek Skala Kepentingan " Regional and Global", sebenarnya CM-SITC menjadi pusat rujukan dan model latihan guru bagi Tanah Melayu, Borneo, dan sebahagian besar negara Asia Tenggara. Pentadbir dan guru pakar didatangkan dari British seperti O.T. Dussek, D.H. Ghrist, M.R. Holgate, W.B.O. Williams; W. Olaguera dari Filipina dan Damiri dari Pulau Jawa.

Beliau berkata manuskrip berkenaan adalah dokumen asal, ditulis tangan oleh pengetua SITC sendiri secara rasmi dan format yang konsisten dan masih disimpan dan dipelihara oleh Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI dan Arkib Negara Malaysia, lengkap dengan metadata, sejarah pemilikan, dan catatan pemindahan, pemeliharaan serta bukti dokumentasi sah mengenai identiti penulis, tarikh penyimpanan dan lokasi asal diari.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1396459/upsi-arkib-negara-malaysia-kumpul-diari-pengetua-1900-1977-calonkan 

Tiada ulasan: