Foto ihsan Jabatan Pertanian Malaysia
POKOK PELANGI – corak batangnya bukan dilukis
Pokok pelangi yang juga dikenali sebagai pokok kayu putih pelangi atau dalam bahasa Inggeris dikenali dengan nama rainbow eucalyptus atau mindanao gum merupakan pokok hutan yang tinggi dan daunnya boleh diproses untuk menghasilkan minyak yang dipanggil minyak angin. Untuk tulisan saya kali ini, saya ingin berkongsi maklumat mengenai pokok yang menarik ini bersama anda.
Pokok pelangi atau nama saintifiknya Eucalyptus deglupta adalah salah satu daripada 700 spesis dalam famili Myrtaceae yang didapati tumbuh secara semula jadi di Hemisfera Utara yang meliputi kawasan New Britain, New Guinea, Sulawesi dan Mindanao Filipina dan Australia. Namun pokok ini lazimnya boleh hidup di negara beriklim tropika seperti Malaysia, yang boleh didapati di Bahau, Negeri Sembilan, Kemaso Pahang dan hutan simpan Ulu Sedili Johor.
Keunikan pokok pelangi ini sudah tentu terdapat pada kulit kayunya yang mempunyai ciri yang paling tersendiri. Lapisan kulit luar akan melalui proses penggantian kulit pokok yang baru setiap masa. Namun proses pengantian ini tidak terjadi secara total sebaliknya secara berperingkat mengikut bahagian-bahagian tertentu yang menampakkan kulit dalaman berwarna hijau cerah yang kemudian menjadi gelap apabila matang untuk memberikan warna biru, ungu, oren dan kemudian bertukar kepada warna merah.
Dari lebih 700 spesis eucalyptus, hanya spesis E. deglupta atau pokok pelangi ini sahaja yang mengalami proses seperti yang dinyatakan. Akibat dari proses pengantian kulit tersebut, kelihatan kemunculan corak multi-jalur pelbagai warna seperti warna-warna pelangi yang menyelaputi batangnya yang boleh mencapai ketinggian hingga 70 meter dengan elemen reka bentuk landskap tersendiri.
Pokok Eucalyptus ini ditanam secara meluas di seluruh dunia bagi tujuan kayu pulpanya yang digunakan untuk membuat kertas seperti yang terdapat di ladang kayu pulpa di Filipina. Namun bagi sesetengah negara pokok pelangi ditanam sebagai pokok hiasan di taman-taman iklim tropika dan subtropika.
Saya juga tidak pernah melihat pokok pelangi sebelum ini, sehingga saya berpeluang melawat Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin baru-baru ini dan diperkenalkan oleh rakan sekerja yang arif mengenai tanaman lanskap. Tetapi sebatang pokok pelangi yang ditanam sebagai pokok hiasan ini masih kecil (ukuran lilit batangnya sekitar 40cm) dan belum menampakkan corak pelangi secara ketara lagi.
Selain dari itu, pokok pelangi ini juga ditanam di beberapa taman-taman disekitar Lembah Kelang. Kalau anda seorang yang perhatin dengan tumbuh-tumbuhan sekeliling, pasti suatu hari nanti anda akan menemui pokok yang unik ini. Cara pembiakan adalah menggunakan biji benih, namun bagi anda yang berminat untuk mendapatkan anak benih pokok ini, anda boleh mencarinya di nurseri-nurseri besar yang membekalkan tanaman landskap.
Sumber: FB Jabatan Pertanian Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan