Sinar Harian – 13 Mac 2024
PUTRAJAYA
- Tradisi penganjuran majlis ilmu Madani di kediaman rasmi Perdana Menteri
iaitu Kompleks Seri Perdana di sini, ialah jambatan untuk melahirkan masyarakat
mencintai ilmu dan memahami konsep adab serta akhlak.
Majlis ilmu Madani di Seri Perdana diilhamkan
Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 24
November 2022, dan majlis seumpama itu kini turut diadakan di seluruh negara.
Menariknya, majlis berkenaan yang berlangsung pada
1 Mac lepas menampilkan tokoh serta ilmuan Islam terkenal seluruh dunia antaranya
Presiden Institut Maqasid Global Prof Dr Jasser Auda, pemuzik tersohor British
Yusuf Islam (sebelum ini dikenali sebagai Cat Stevens) dan Syeikh Muhammad
Haydara al-Jilani, ulama asal Gambia. Majlis ilmu itu boleh diikuti melalui
laman sosial Facebook rasmi Perdana Menteri.
Berkongsi pengalaman berada pada majlis ilmu
Madani, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr
Zulkifli Hasan berkata, penganjuran majlis itu adalah tepat kerana penekanan
ilmu dan adab wajib dipelajari dan diamalkan bagi menerapkan nilai dalam
pelbagai bidang termasuk kemampanan ekonomi dan kecerdasan buatan
"Anjakan
paradigma dari sudut pemikiran, nilai dan tadbir urus hanya akan dapat dicapai
sekiranya masyarakat mencintai ilmu dan memahami konsep adab serta akhlak.
"Dengan adanya masyarakat yang memahami
konsep ilmu dan adab, semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu dalam
membina sebuah negara yang baik,” katanya kepada Bernama. Penganjuran majlis itu juga, katanya selari dengan
usaha memberi kefahaman tentang maksud negara Madani yang digagaskan oleh
kerajaan pimpinan Perdana Menteri kepada masyarakat.
"Hal ini kerana ia melibatkan nilai asas
pembentukan negara Madani iaitu akidah yang kukuh, akhlak baik serta
pembentukan sahsiah maknawiyah bersama impian membina tamadun yang gemilang,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan