Selasa, September 02, 2025

Rafflesia Arnoldii (Bunga Pakma)

 

Bagaimana Sir Stamford Raffles menemui Bunga Pakma.
Pada tahun 1816, Sir Stamford Raffles dilantik sebagai Leftenan-Gabenor Sumatera dan ditempatkan di Bencoolen (Bengkulu) selepas lima tahun berkhidmat di Jawa. Tidak lama selepas itu, beliau memulakan pengembaraan ke pedalaman Sumatera bersama Dr. Joseph Arnold, seorang pengumpul spesimen haiwan dan tumbuhan. Malangnya, Dr. Arnold meninggal dunia akibat demam semasa ekspedisi tersebut.
Pada tahun 1818, Raffles menghantar kepada rakannya, Sir Joseph Banks (Presiden Royal Society ketika itu), sehelai spesimen bunga yang luar biasa, hasil penemuan Arnold sepanjang pengembaraan mereka. Bersama bunga itu, turut disertakan catatan terperinci mengenai penemuan tersebut.
Spesimen berharga itu kemudian dikaji oleh Robert Brown, ahli botani terkemuka Britain yang memang terkenal dengan kepakarannya dalam meneliti tumbuhan tropika. Beliau kemudiannya menerbitkan huraian saintifik mengenai bunga tersebut.
Bagi menghargai sumbangan Raffles dan Arnold dalam penemuan itu, Brown menamakan bunga tersebut Rafflesia arnoldii – yang kini dikenali sebagai bunga terbesar di dunia.
Sumber:
Hollettum, R. E. "The Jungle’s Largest Flower: Bunga Pakma." The Straits Times, 3 Oct. 1950, p. 6.

Dikongsikan daripada laman FB Harith Faruqi Sidek (22 Ogos 2025)

Isnin, September 01, 2025

Seni Tekat Benang Emas Negeri Perak

Foto ihsan OrangPerak
Anugerah Tokoh Kraf Negara (Bidang Tekat Benang Emas) 
Foto ihsan Kraftangan Malaysia

Seni tekat benang emas merupakan warisan halus negeri Perak yang kaya dengan nilai estetika dan sejarah diraja. Ia melibatkan sulaman benang emas yang ditekat pada kain baldu menggunakan acuan motif yang dikenali sebagai mempulur, menghasilkan corak timbul yang lazimnya berbentuk bunga atau awan larat. Dahulu, seni ini hanya digunakan oleh kerabat diraja dalam majlis istiadat seperti perkahwinan, pertunangan, dan khatam Al-Quran, menjadikannya simbol kemewahan dan kehalusan budaya Melayu Perak. Bandar Diraja Kuala Kangsar menjadi pusat utama penghasilan tekat, dan tokoh seperti Raja Nuteh Aishah, permaisuri Sultan Idris I, dikenali sebagai tukang tekat yang mahir dan disegani. Walaupun seni ini semakin jarang diamalkan, ia tetap menjadi lambang keindahan warisan yang perlu dipelihara dan dihargai oleh generasi masa kini.

Baca hantaran OrangPerak

Baca hantaran Perak World