GEORGE TOWN - 10 beradik sepakat mewakafkan dua unit rumah keluarga mereka di Pangsapuri Warisan Tanjung di Tanjung Tokong di sini untuk dijadikan perpustakaan bagi kegunaan awam di negeri ini.
Salah seorang wakil keluarga pewakaf, Dr Imran Abdul
Khalid, 65, berkata, tujuan mereka mewakafkan kedua-dua unit tersebut pada 2023
kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk membantu pelajar
yang tidak berkemampuan dalam mendapatkan sumber ilmu pengetahuan.
Imran
berkata, kesemua adik-beradiknya bersatu hati untuk mewakafkan kediaman tersebut
sebagai perpustakaan agar pahala sentiasa mengalir buat ibunya, Gayah Osman
yang meninggal dunia pada 2019.
"Arwah ibu
sentiasa terapkan kepentingan ilmu kepada kami dan dia selalu mengingatkan,
ilmu boleh mengubah nasib kami yang serba kekurangan.
"Disebabkan itu, kami 10 beradik sangat mementingkan pelajaran dan hasilnya, kesemua kami berjaya menamatkan pelajaran di peringkat PHD.
"Ini
adalah salah satu sebab mengapa kami mewakafkan kediaman ini untuk kegunaan
pelajar yang tidak mampu daripada segi kewangan dan meneruskan semangat arwah
ibu untuk membantu mereka tidak berkemampuan," katanya ketika ditemui pada
Majlis Perasmian Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah di sini pada Selasa.
Perpustakaan
itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.
Mengulas lanjut, anak ketiga itu berkata, arwah ibu
seorang guru namun berhenti setelah berkahwin dan menjual kuih untuk menyara
keluarga.
"Dia
seorang yang sangat berdisiplin dan sentiasa membantu orang yang tidak
berkemampuan. Ajaran arwah membuatkan kami pun suka membantu orang dan
mementingkan ilmu pengetahuan.
"Kami berharap wakaf perpustakaan ini akan membawa
pahala serta amal jariah berpanjangan khusus buat ibu serta ahli keluarga kami
dan berharap perpustakaan ini dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Pulau
Pinang terutamanya anak-anak di Tanjung Tokong," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan negeri terus
berusaha memperkukuh pembangunan pendidikan Islam dengan perasmian Perpustakaan
Wakaf Hajah Gayah.
Beliau berkata,
penubuhan perpustakaan itu adalah hasil inisiatif strategik antara MAINPP,
Wakaf MAINPP dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang.
"Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah dijangka memberi
manfaat besar kepada penduduk setempat, terutama dalam memastikan akses kepada
bahan bacaan berkualiti bagi semua peringkat usia," katanya.
INFO:
> Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah di Pangsapuri
Warisan Tanjung, Tanjung Tokong merupakan perpustakaan wakaf pertama di Pulau
Pinang dibuka untuk kegunaan orang ramai terletak di tingkat 3, Blok K
pangsapuri berkenaan.
>Di buka bermula Selasa hingga Sabtu jam 9.30 pagi
hingga 6 petang, menyediakan 1,700 buah buku fizikal dan akses ke Perpustakaan
Awam Pulau Pinang dengan 5 juta buku digital.
>Dilengkapi dengan pelbagai koleksi buku untuk
kanak-kanak, dewasa, selain kemudahan ruang bacaan, surau, WiFi dan tandas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan