Mereka cuma ada empat lagu, tetapi penerimaan peminat rock tempatan terhadap kumpulan SYJ cukup luar biasa.
Lagu Orang Timur, Hati Syaitan, Mata Sepet dan Teruskan yang dimuatkan dalam album kompilasi Battle Of The Bands (BOTB) 1 dan Battle Of The Bands 2 pada 1986 itu membuka mata peminat terhadap SYJ yang ketika itu dianggotai Amir (penyanyi), Zam (gitar), Man Rani (bass) dan Eduad (dram).
SYJ yang diasaskan oleh Allahyarham Syed Yusof Jamalullail itu juga terkenal dengan 'trademark' pakaian yang 'daring', muzik yang 'kering', lirik 'keras' dan 'attitude' mereka yang 'nakal' - sesuatu yang berbeza dengan kumpulan-kumpulan rock tempatan lain ketika itu. Atas faktor inilah mendorong ahli akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin menghasilkan buku SYJ BOTB 1986.
Pada 2023, Takiyuddin yang juga pengikut muzik rock sejak remaja menghasilkan buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia (yang juga dikenali sebagai 'Buku Merah') dan ia mendapat sambutan meluas. "Minat untuk menghasilkan buku SYJ tumbuh sewaktu saya menyiapkan buku 65 Tahun Muzik Rock Di Malaysia.
"Sejarah sebenar SYJ sering kali mengelirukan ramai orang dan peminat. Saya sendiri tidak menyangka mereka sebenarnya sudah ditubuhkan sejak 1977 lagi. Sebahagian besar anggotanya ketika itu masih hidup hingga kini dan banyak menyimpan foto rakaman. Jadi dari situ, saya menjejaki, bertemu dan menemubual seramai 33 anggota utama SYJ yang masih hidup sejak 1977 hingga sekarang," katanya.
Takiyuddin berkata, SYJ yang berasal dari Ipoh itu satu jenama dalam perkembangan muzik rock di Perak dan Malaysia umumnya.
"Ia boleh dianggap seperti kolej atau sekolah muzik yang dianggotai lebih 80 pemuzik hingga kini. Kebanyakannya bukan saja anak Perak tetapi juga dari Kedah dan Johor. Sejak jenama 'SYJ Ipoh' muncul pada 1977, ia menjadi sebahagian daripada faktor penting pemuzik berkumpulan di Perak. Namun, hanya apabila babak glam rock mula membahang Malaysia sekitar awal 1980-an, nama SYJ mula menular dalam peta Malaysia," katanya.
Nama SYJ mula meledak apabila promoter Box Office, Ali Bakar menganjurkan Battle Of The Bands pada Februari 1986. Imej, muzik, lirik dan 'attitude' yang berbeza berbanding kumpulan rock lain membuatkan nama Amir, Man Rani, Zam dan Eduad pantas menjadi sebutan di seluruh negara.
Biarpun 'bersalin kulit' dengan menukar nama kepada Sofea serta pengunduran Eduad pada 1987, namun 'attitude' mereka terus menjadi bualan sehinggalah kumpulan itu melabuhkan tirai pada 1992. Barisan SYJ lain selepasnya agak sukar mengisi kasut yang ditinggalkan SYJ BOTB 1986. Roh SYJ BOTB 1986 terpelihara kukuh sehinggalah era 'comeback Sofea' di antara tahun 2011 hingga 2017.Takiyuddin berkata, buku ini adalah testimonial mengenai perjalanan panjang SYJ BOTB 1986 dan Sofea selama 40 tahun.
"Ia memfokuskan kepada SYJ BOTB 1986 yang dianggotai Amir, Man Rani, Eduad dan Zam. Naratif kemudiannya akan bersambung ke sejarah Sofea yang ditunjangi secara terus oleh Amir dan Man Rani sehingga 2017. Pada beberapa waktu ia turut diisi oleh Zam dan Eduad sehingga 1992.
"Namun, buku ini tetap menyisipkan sejarah ringkas SYJ sejak 1977 dan anggota lain yang pernah menganggotai kumpulan itu. Saya tiada niat untuk merendahkan barisan lain, tetapi tiada siapa boleh menafikan hakikat hanya SYJ BOTB 1986 dan Sofea mempunyai tempat lebih luas di hati peminat. Buku ini adalah kisah jatuh bangun dan suka-duka mereka sebagai pemuzik rock," katanya.
Turut diketengahkan ialah individu penting seperti pengasas SYJ, Syed Yusof Jamalullail dan Ali Bakar. Menurut Takiyuddin, buku ini bukan saja untuk meraikan 40 tahun SYJ BOTB tetapi juga 40 tahun acara yang menjadi pengubah permainan dalam babak rock glam di Malaysia iaitu Battle Of The Bands.
"Buku ini bersaiz 11 x 8 inci dengan 560 muka surat serta berkulit keras. Ia mengandungi ratusan gambar yang sebahagiannya tidak pernah dilihat. Ia disumbang oleh ramai pemuzik, pengarkib dan peminat SYJ," katanya.
Takiyuddin berkata, awal tahun lalu dia berjaya menyiapkan salasilah atau susur galur lengkap SYJ-Sofea sejak 1977 hingga 2021.
"Susur galur ini adalah jawapan muktamad mengenai kebingungan dan kekeliruan mengenai sejarah sebenar SYJ yang berselirat dan kompleks dalam kalangan peminat. Selain itu saya juga menamakan setiap periodisasi dan meletakkan tarikh yang lebih tepat," katanya.
Sementara itu, reka letak buku ini adalah hasil kerja pereka grafik, Boul yang juga pereka kulit album popular pada era 1980-an. Selain menghasilkan kulit album Sofea berjudul Kembali, Boul turut menghasilkan kulit album popular seperti Mentari Merah Di Ufuk Timur (Search), Fenomena (Search), Battle Of The Bands 2, Juara-Juara Rock 2, Juara Juara Rock 3, Anak Merdeka (Ella & The Boys), S.O.L.O (M Nasir) dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Takiyuddin turut mengucapkan terima kasih kepada 600 pembeli yang sudah menempah buku ini.
"Saya tidak memperoleh sebarang dana atau geran untuk projek ini. Pembelilah yang 'mendanai' projek ini dan saya amat hargai sokongan mereka," katanya.
Maklumat lanjut mengenai buku SYJ BOTB 1986 yang bakal dilancarkan pada 13 September ini di Facebook Taki Takiyuddin atau hubungi 019-2060568.
Sumber: https://www.hmetro.com.my/rap/rapextra/2025/07/1236529/gemilang-syj-dibukukan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan