Rakyat Singapura digalak meluangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit sehari untuk membaca sebagai sebahagian daripada cabaran di bawah satu gerakan baharu untuk memperkukuh tabiat membaca. Menerusi Cabaran ReadSG - https://www.read.gov.sg, peserta boleh menetapkan matlamat peribadi, mengekalkan ‘streak’ membaca, mengumpul mata pengalaman serta syiling maya yang boleh ditebus. Cabaran itu adalah di bawah ReadSG, gerakan membaca nasional selama lima tahun yang dilancarkan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 6 September.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang juga penaung ReadSG, merasmikan pelancaran tersebut di Bangunan NLB. Ketua Pegawai Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata tabiat membaca secara mendalam semakin penting dalam dunia digital yang dipenuhi kandungan dan maklumat berbentuk pendek.
“Walaupun kandungan format pendek membantu kita kekal mendapat maklumat, bacaan format panjang mengukuhkan daya tumpuan, pemikiran kritikal dan imaginasi. ReadSG mengajak semua orang bermula secara kecil-kecilan dengan 15 minit yang boleh dicapai,” katanya.
Cabaran yang dijalankan menerusi platform CrowdTask SG itu
menyasarkan 150,000 pengguna menjelang September 2027. Ia akan dilaksanakan
sebagai projek perintis dari 6 September hingga 31 Disember 2026, dengan ciri
dan penambahbaikan baru bakal diperkenalkan berdasarkan maklum balas pengguna.
Ketika ditanya mengenai keputusannya menjadi Penaung ReadSG
bagi tempoh lima tahun, Presiden Tharman berkata perubahan tabiat memerlukan
masa, terutama jika gerakan itu mahu memberi kesan kepada masyarakat daripada
pelbagai peringkat usia.
“Jika kita mahu memberi kesan kepada masyarakat secara
meluas, golongan muda, pertengahan usia dan warga emas, kita harus bersedia
untuk bersabar kerana tabiat terbentuk secara perlahan. Lima tahun sebenarnya
bukan tempoh yang panjang, tetapi kami berharap dalam tempoh lima tahun, kita
akan dapat melihat sesuatu yang berbeza dalam tabiat kita,” katanya.
Penulis dan pendidik Melayu, Cik Norlin Samat, dilantik
sebagai salah seorang daripada enam Duta ReadSG untuk membantu memupuk tabiat
membaca serta menggalakkan penghayatan sastera Melayu dalam kalangan
masyarakat.
“Saya faham bahawa terutama bagi mereka yang sudah lama
tidak membaca untuk kembali kepada tabiat itu boleh menjadi satu cabaran. Jadi,
kita perlukan titik permulaan yang tidak terlalu sukar. Apabila anda mula
membaca, anda akan diingatkan semula betapa seronoknya membaca. Apabila sudah hooked,
15 minit pun tidak akan mencukupi,” katanya.
Cik Norlin turut menekankan kepentingan memberi ruang kepada
pembaca, khususnya kanak-kanak, memilih bahan yang mereka minati tanpa
menghakimi jenis bahan bacaan tersebut. Beliau sendiri menghasilkan buku
dwibahasa bagi mendedahkan kanak-kanak kepada cerita dalam bahasa Inggeris dan
Melayu sejak usia muda, sambil membantu mereka mengekalkan hubungan dengan
bahasa dan budaya Melayu.
Menurutnya, membaca juga memberi seseorang ruang untuk
membentuk pandangan sendiri dalam persekitaran media sosial yang sarat dengan
kandungan pendek serta pendapat orang lain. Lebih 40 rakan kerjasama dan
penyokong terlibat dalam ReadSG, termasuk SPH Media.
Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Chan Yeng Kit,
berkata liputan pelbagai bahasa kumpulan itu dalam bahasa Inggeris, Cina,
Melayu dan Tamil membolehkannya mendekati masyarakat merentasi generasi. Beliau
berkata SPH Media berbangga bekerjasama dengan NLB dan rakan lain untuk
menggalakkan pemikiran kritis, meraikan penceritaan serta memupuk minat membaca
sepanjang hayat di Singapura.
Satu lagi inisiatif di bawah ReadSG ialah Get It Now, yang
akan menyediakan satu judul popular kepada semua pengguna Libby pada Jumaat
pertama setiap bulan sehingga Mac 2027 tanpa perlu menunggu untuk meminjamnya. Pelancaran
ReadSG turut menandakan September sebagai Bulan Membaca Nasional yang pertama,
dengan pelbagai kegiatan di perpustakaan di seluruh negara.
Bacaan yang dicatatkan menerusi Cabaran ReadSG sepanjang
September juga akan dikira sebagai sebahagian daripada Read for Good,
kempen membaca amal tahunan NLB. Sebelum ini dikenali sebagai Read for Books,
kempen itu menyasarkan 7.5 juta minit bacaan tahun ini bagi mengumpul sehingga
$150,000 untuk membantu masyarakat kurang bernasib baik. Dana yang dikumpulkan
akan menyokong kidsREAD, MINDS dan Preschool Market menerusi penyediaan bahan
bacaan dan pembelajaran, selain sumbangan buku daripada penaja.
Sumber: https://www.beritaharian.sg/singapura/gerakan-baru-galak-rakyat-spura-membaca-15-minit-sehari




![Ketupat Cinta [Musim Pertama]](https://i.gr-assets.com/images/S/compressed.photo.goodreads.com/books/1240420495l/6415559._SY75_.jpg)


















Tiada ulasan:
Catat Ulasan